Monday, February 25, 2008

Teknologi komunikasi

Teknologi cip, biometriks KPPK tingkatkan keselamatan
TEKNOLOGI cip dan biometriks yang digunakan pada Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) mampu meningkatkan keyakinan yang tinggi di kalangan pengguna khususnya dari aspek keselamatan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Azizan Ayob berkata, ciri-ciri keselamatan tersebut melindungi pemegangnya dari sebarang pemalsuan dan salah guna kad.
``Ia juga memastikan data yang disimpan di dalam kad tersebut adalah tepat dan selamat,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurut Azizan, berdasarkan kepada ciri-ciri keselamatan yang tinggi itu, pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan kegunaan kad tersebut kepada sektor pengangkutan dan perbankan tidak lama lagi.
Katanya, langkah itu adalah wajar memandangkan fungsi kedua-dua sektor terbabit semakin penting kepada rakyat Malaysia kebelakangan ini.
``Dengan pertambahan bilangan tol dan pengangkutan awam di negara ini, kami harap dapat membina sistem yang membolehkan kita membayar tol, tambang keretapi, LRT dan bas menggunakan KPPK tidak lama lagi,'' ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha keras membangunkan infrastruktur yang serupa seperti mesin teler automatik (ATM) supaya pengguna dapat mengeluarkan duit menggunakan KPPK.
``Bagi sektor perbankan, kami bercadang mewujudkan suatu sistem yang boleh akses kepada akaun bank pengguna untuk keluarkan duit menggunakan KPPK,'' jelasnya.
Beliau menjelaskan, bagi mengelakkan pengklonan dan penggodaman, pihaknya akan menambah beberapa ciri keselamatan lain seperti menggunakan nombor pin dan cap jari.
Beliau menambah, langkah tersebut juga membuktikan kerajaan memandang serius ke arah mencapai visi pengurusan tanpa kertas di negara ini.
Kerajaan Malaysia membelanjakan sebanyak RM270 juta bagi membangunkan KPPK yang mula diperkenalkan kepada orang ramai bulan lalu.
Jumlah itu membabitkan pelaburan fasa pertama projek perintis KPPK iaitu untuk kawasan Lembah Klang yang bermula sejak tahun 1997.
Ini termasuk kos membangunkan aplikasi dan perisian, pusat pengeluaran kad, pangkalan data, peranti bagi pembaca kad, infrastruktur dan rangkaian serta latihan dan perkhidmatan lain.
Menurut Azizan, sehingga kini sebanyak 90 ribu KPPK telah dikeluarkan dan dijangka akan meningkat sehingga 600 ribu lagi menjelang penghujung tahun ini.
KPPK yang berfungsi sebagai kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad kesihatan, kad bayaran tunai elektronik dan lain-lain itu adalah kad pintar pelbagai guna pertama di dunia.
Kad pintar tersebut menggunakan teknologi terkini seperti mikrocip dan enkripsi keselamatan termasuk cap jari serta imej maya (ghost image).
``Kami mensasar KPPK akan digunakan secara meluas dan jayanya di seluruh negara pada tahun 2007 nanti,'' tambahnya.

Status lesen 3G diketahui akhir tahun
PEPUTUSAN kerajaan mengenai lesen perkhidmatan telekomunikasi generasi ketiga (3G) dan bagaimana untuk menawarkannya kepada pengendali-pengendali yang layak akan diketahui menjelang akhir tahun ini, kata setiausaha parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye.
Beliau berkata Malaysia masih belum menggunakan sepenuhnya sistem radio paket am (GPRS) yang sedia ada dan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem ini terlebih dahulu.
``Perkhidmatan 3G amat canggih - melampaui suara - melibatkan data dan kandungan - dan pembangunan kandungan masih lagi di peringkat ``terlalu awal'' di Malaysia,'' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan seminar perniagaan mengenai ``Masyarakat Maklumat Moden Finland'' di sini hari ini.
Sementara itu, 3G, merupakan teknologi tercanggih yang boleh memaparkan imej gambar dan grafik yang jelas dalam internet mudah alih dan ia dijangka dikomersialkan di Malaysia dalam tahun 2002 berdasarkan laporan-laporan awal.
Chia berkata kerajaan tidak mengambil perkara itu sambil lewa tetapi membuat kajian berhati-hati terhadap pelbagai pilihan dan pendekatan yang diguna pakai oleh negara-negara lain dalam menawarkan lesen 3G.
Terdahulu, Datuk Amar Leo Moggie dalam ucapan pembukaan yang dibaca oleh Chia, menyatakan yang Malaysia mendapati tahap kesediaannya adalah setanding dengan tahap e-dunia dan lain-lain negara maju, dan telah bersedia untuk mencapai tahap-tahap yang lebih tinggi.
``Ini amat benar jika kita lihat pada kemudahan-kemudahan yang ada di Koridor Raya Multimedia (MSC) dan kemajuan yang telah dicapai dalam lingkungan kawasan itu,'' kata Moggie.
Beliau berkata dalam bidang infrastruktur dan teknologi asas, telah terbukti yang infrastruktur, perkhidmatan dan teknologi Malaysia telahpun tersedia ada untuk memulakan e-perniagaan dan transaksi.
``Penggunaan pakai teknologi baru di Malaysia agak pantas,'' beliau berkata.
Pada Disember 2000, terdapat 5.8 juta pelanggan talian mudah alih berbanding 4.6 juta pelanggan talian tetap, tambah beliau.
Status teknologi 3G di Asia seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Reuters.
Berikut adalah perincian mengenai spektrum wayarles generasi ketiga (3G) telah dan akan diberikan dalam beberapa pasaran di Asia:
AUSTRALIA:
Enam syarikat telah mengemukakan tawaran bernilai RM2.242 bilion - jauh di bawah ramalan kerajaan negara itu - bagi teknologi 3G dalam satu lelongan pada Mac lepas.
Syarikat yang berjaya ialah Telstra Corp, Vodafone Group Plc, Hutchison Telecommunications (Australia), Cable & Wireless Optus, Qualcomm Inc 3G Investments dan ArrayCommInc CKW Wireless.
Australia mempunyai 10.3 juta pelanggan bergerak pada hujung tahun 2000, kata International Data Corp. (IDC)
CHINA:
Metod pemberian spektrum itu masih belum ditentukan. China mempunyai hanya dua penyedia telefoni bergerak seluruh negara, China Mobile (HK) dan China Unicom, dan syarikat induk masing-masing, walaupun ia dilihat akan memberikan lebih banyak lesen wayarles pada masa depan. kebanyakan pemerhati industri meramalkan 3G tidak akan dilancarkan di republik itu dalam jangka masa terdekat.
China mempunyai 85.3 juta pengguna telefoni bergerak pada tahun 2000, kata IDC.
HONG KONG:
Empat syarikat akan diberikan lesen menerusi proses lelongan tahun ini.
Hong Kong akan mensyaratkan pemilik lesen 3G memberikan sebahagian spektrum itu kepada penyedia perkhidmatan ``maya''.
Pendahulu pasaran seperti Hutchison Whampoa dan usaha sama antara Pacific Century CyberWorks dan Telstra dijangka mendapat lesen tersebut, manakala empat penyedia telefoni lain akan berkongsi baki dua lesen lagi.
Hong Kong mempunyai 5.2 juta pengguna telefoni bergerak pada akhir tahun 2000, kata IDC.
JEPUN:
Jepun memberikan lesen spektrum 3G tahun lepas kepada ketiga-tiga penyedia sedia ada, NTT DoCoMo Inc, subsidiari KDDI Corp ``au'', dan Japan Telecom Co Ltd.
Jepun mempunyai 58 juta pengguna telefoni bergerak pada hujung 2000.
SINGAPURA:
Lelongan lesen 3G di republik itu telah dibatalkan pada awal April lepas kerana hanya tiga syarikat menawarkan diri membeli empat lesen yang dicadangkan.
Daripada tiga syarikat tersebut, setiap satu akan membayar sehingga RM209 juta bagi mendapatkan lesen 3G itu ialah Singapore Telecommunications, MobileOne (Asia) dan StarHub Mobile.
Singapura mempunyai 3.1 juta pengguna telefoni bergerak pada hujung tahun 2000, kata IDC.
KOREA SELATAN:
Dua lesen telah diberikan pada Disember lepas yang menggunakan standard W-CDMA pada harga RM3.77 bilion setiap satu kepada konsortium yang diketuai oleh SK Telecom dan Korea Telecom
Pemberian lesen ketiga menggunakan standard saingan cdma2000 telah ditunda sebanyak dua kali kerana kekurangan minat.
Korea Selatan mempunyai 26.78 juta pengguna telefoni bergerak pada hujung tahun lepas, kata IDC.
TAIWAN:
Kabinet Taiwan kini sedang menimbang cadangan melelongkan lima lesen 3G pada Oktober depan. Antara penyedia telefoni yang berminat ialah Chunghwa Telecom, Taiwan Cellular dan Far EasTone milik Far Eastern Textile, Lin Yuan Group, syarikat induk Cathay Life Insurance dan KG Telecom milik konglomerat Koo Group.
Pada hujung tahun lepas, Taiwan mempunyai 17.6 juta pengguna perkhidmatan telefoni bergerak, kata IDC.

Dunia kini boleh pantau Putrajaya
PERBADANAN Putrajaya berjaya menyediakan Sistem Maklumat Interaktif yang membolehkan rakyat negara ini melihat dan memantau keadaan Putrajaya pada masa sebenar.
Sistem yang tersedia pada laman www.putrajaya.net.my. itu memperlengkapkan lagi ciri bandar bestari Putrajaya yang menawarkan perkhidmatan dan pentadbiran lebih cekap serta berkesan dengan manfaatkan teknologi maklumat (IT) kepada pengguna.
Selain bahan sedia ada, sistem interaktif itu juga menyediakan laporan trafik keadaan semasa, alam sekitar, perkhidmatan panduan elektronik dan perkhidmatan masyarakat.
Pelaksanaan sistem interaktif itu juga selaras dengan wawasan kerajaan menggalakkan penggunaan IT dan multimedia dalam usaha meningkatkan perkhidmatan.
Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Azizan Zainul Abidin berkata, sistem yang manfaatkan sepenuhnya teknologi IT dan multimedia itu mampu menawarkan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan sesuai dengan usaha membudayakan IT dalam masyarakat.
“Pengenalan sistem ini akan menjadi satu platform penting kepada pengguna ke arah meningkatkan kualiti hidup selain membantu melicinkan kerja harian,” katanya pada pelancaran sistem yang membabitkan kos kira-kira RM70 juta itu, minggu lalu.
Sistem interaktif itu juga membolehkan pengguna mencapai maklumat statik, mengemukakan permohonan, menyampai dan mendapatkan maklumat serta cadangan pada masa sebenar.
Ia turut memuatkan perkhidmatan maklumat umum mengenai Putrajaya, undang-undang dan peraturan, panduan lalu lintas, panduan bandar raya, aktiviti masyarakat dan perkhidmatan bandar raya, panduan laman web, maklumat pelancong dan peta kawasan.
Azizan berkata, bagi meningkatkan tahap penggunaan IT infokios disediakan di beberapa tempat strategik bagi membolehkan pengguna yang tidak mempunyai kemudahan Internet mendapat maklumat.
Sistem interaktif itu adalah salah satu daripada komponen Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang terkandung dalam program pembangunan Pusat Kawalan Bandaraya Putrajaya.
Ketika ini, 15 sistem sudah siap dibangunkan yang terangkum dalam tiga kumpulan utama iaitu Sistem Pengurusan Kewangan, Perakaunan dan Sumber Manusia (ERMIS); Pusat Kawalan Bandar Raya Putrajaya (CCC) dan Sistem Pengurusan Berkomputer Pembangunan Bandar (Sumber Putra).
Pembangunan dan pelaksanaan ICT Perbadanan Putrajaya adalah entiti penting yang menjadi salah satu sistem sokongan bagi memastikan matlamat dan hasrat untuk membangunkan Putrajaya sebagai bandar raya bestari tercapai.
RM5.2b untuk pembangunan ICTnegara
Sebanyak RM5.2 bilion akan diperuntukkan bagi program dan projek berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam meneruskan usaha untuk mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.8 bilion akan diperuntukkan kepada perluasan aplikasi perdana gelombang pertama, demikian menurut Laporan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, Isnin lepas.
Sementara itu, sebanyak RM1.6 bilion pula diperuntukkan bagi program pengkomputeran di beberapa kementerian dan agensi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai.
Sebanyak RM1.0 bilion lagi akan dibelanjakan bagi merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar melalui program seperti Infodesa, Internet Desa, Pembekalan Khidmat Sejagat dan pemberian kemudahan komputer kepada sekolah luar bandar.
Program-program lain termasuklah P&P serta pembangunan kandungan tempatan, kata laporan itu.
Sejak tahun 1996, bagi mendorong pembangunan berasaskan pengetahuan Malaysia telah menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) menyaksikan pertumbuhan yang pesat dalam penggunaan ICT di mana pelaburan telah meningkat pada kadar 9.2 peratus setahun kepada RM5.9 bilion pada tahun 2000 daripada RM3.8 bilion pada tahun 1995.
Menurut laporan itu, pada tahun 2000, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan tertinggi dalam ICT sebanyak RM1.2 bilion atau 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan ICT, diikuti dengan sector perbankan dan kewangan sebanyak 14 peratus dan sektor perdagangan pengedaran sebanyak 11 peratus.
Sektor kerajaan juga telah melabur dengan jumlah yang besar dalam ICT iaitu sebanyak RM532 juta atau 9.0 peratus daripada jumlah keseluruhan jumlah perbelanjaan ICT.
Bagi menggerakkan pembangunan dalam MSC, tujuh aplikasi perdana telah diperkenal untuk menyediakan peluang perniagaan bagi penyertaan sektor swasta, kata laporan tersebut.
Aplikasi-aplikasi perdana tersebut dikategorikan kepada aplikasi perdana pembangunan multimedia dan aplikasi perdana persekitaran multimedia.
Di bawah aplikasi perdana pembangunan, kerajaan elektronik telah dilancarkan dengan tujuan memperbaiki operasi agensi kerajaan dari segi proses dalamannya dan penyediaan perkhidmatan kepada orang ramai serta peniaga.
Di bawah aplikasi ini, 6 projek perintis telah dilaksanakan iaitu Perkhidmatan elektronik (E-Perkhidmatan), Perolehan Elektronik (E-Perolehan), Persekitaran Pejabat Generik (GOE), Sietem Maklumat dan Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), Sistem Pemantauan Projek (PMS) dan Pertukaran Buruh Elektronik (ELX).
Persekitaran Pejabat Generik yang dijadual dimulakan bulan ini bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran ICT di kalangan kakitangan kerajaan tetapi juga menambahkan kecekapan dan keberkesanan, kata laporan tersebut.
Menjelang pertengahan tahun 2002, Fasa 1 projek HRMIS akan diperluaskan bagi memberi manfaat kepada 150,000 pengguna di 10 agensi baru yang telah dikenal pasti.
Menurut laporan itu, pada tahun ini, ujian penggunaan Kad Pelbagai Guna Kerajaan (KPGK) yang merupakan aplikasi perdana kad pelbagai guna akan dimulakan dengan melibatkan pengguna terpilih sahaja. Sasarannya adalah sebanyak dua juta kad pintar untuk dibekalkan kepada penduduk di kawasan MSC dan Lembah Klang pada tahun 2001.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai prestasi yang bertaraf dunia, Kerajaan akan melaksanakan kerangka dasar yang baru untuk sektor ICT dan multimedia yang berasaskan kepada perubahan yang pesat ke arah persaingan penuh.
Antara langkah tambahan yang akan diambil bagi memudahkan usaha memasuki pasaran di samping mewujudkan persekitaran yang berdaya saing adalah melalui pelaksanaan dasar perlesenan yang jelas, ringkas dan praktikal serta meminimumkan keperluan perlesenan untuk perkhidmatan baru seperti ISP dan Suara melalui Protokol Internet (VoIP).
Selain menaikkan taraf dan memperluaskan infrastruktur ICT, pelaburan juga akan dibuat untuk menaik taraf jaring komunikasi, selaras dengan peningkatan teknologi, ini termasuk meningkatkan kadar penembusan telefon di luar bandar dengan kadar 17.5 telefon untuk setiap 100 penduduk pada tahun 2005 berbanding dengan 11.7 telefon pada tahun lepas.
Menurut laporan itu, oleh kerana ICT semakin diperlukan, permintaan untuk pekerja ICT terus berkembang dengan pesat bagi membolehkan penggunaan teknologi yang sedia ada dan membangunkan teknologi pada masa depan.
Pengatur program komputer dan kakitangan sokongan teknikal akan meningkat kepada 181,600 orang dalam tahun 2005 daripada 108,000 dalam tahun 2000.
Manakala, seramai 122,910 pelajar dijangka akan mendaftar di pusat-pusat pengajian tinggi tempatan, tambah laporan itu.
PRIVATE SECTOR Citibank lancar perbankan online bagi Malaysia Oracle perkenal rumusan baru permudah e-niaga

Citibank lancar perbankan online bagi Malaysia
CITIBANK Bhd telah melancarkan Perbankan Online CitiDirect bagi perniagaan-perniagaan Malaysianya, menjadikannya bank asing pertama di negara ini memperkenalkan perbankan Internet kepada sektor korporat tempatan.
Boleh dicapai melalui www.citidirect-online. com, pelancaran CitiDirect Online Banking Khamis lepas itu menandakan strategi perbankan Internet dua fasa Citibank di Malaysia, bermula dengan fasa perhubungan tetapi bukan urusniaga produk itu.
``Fasa Satu meliputi keprihatinan produk, pendidikan pelanggan dan fungsi-fungsi produk bagi pertanyaan produk,'' kata pengarah bagi e-perniagaan Citibank Lin Hsiu-Yi pada persidangan media di Kuala Lumpur.
``Ia juga meliputi menyampaikan permintaan para pengguna secara elektronik dan aplikasi-aplikasi perkhidmatan pelanggan lain menggunakan e-mel selamat, borang-borang elektronik dan mel berstruktur antara bank dan pelanggan-pelanggan korporatnya,'' katanya.
Fasa kedua strategi Internet Citibank, katanya, akan merangkumi keupayaan urusniaga sepenuhnya mulai Januari tahun depan.
Citibank kini mempunyai kira-kira 1,000 pelanggan korporat dan separuh daripada mereka kini menggunakan produk-produk perbankan elektroniknya, kata Lin.
``Sasaran kami ialah mempunyai 100 pelanggan korporat mendaftar (untuk CitiDirect) menjelang akhir tahun ini,'' katanya.
``Daripada itu dan seterusnya, kami jangka bilangan itu akan meningkat (dengan jumlah besar) tahun depan setelah kami memperkenalkan ciri-ciri urusniaga,'' katanya.
Lin berkata CitiDirect Online Banking adalah saluran penghantaran berasaskan pelayar, direka bentuk untuk menghantar dengan selamat semua produk pengurusan tunai dan perdagangan dan perkhidmatan Citibank secara terus.
Ia memberikan para pelanggan bank itu manfaat satu platform global, keselamatan yang cergas dan integrasi terselaras dengan sistem Perancangan Sumber Syarikat (ERP).
Ini akan membolehkan pelanggan-pelanggan membuat pertanyaan mengenai baki akaun mereka, meminta penyata-penyata dan memberikan perincian pergerakan transaksi, dan juga meminta laporan transaksi secara online dan secara tepat masa, kata Lin.
Melalui perkhidmatan online, para pelanggan boleh juga menyampaikan permintaan mereka melalui borang-borang elektronik untuk pelbagai perkhidmatan termasuk pemindahan dana-dana domestik dan lintas sempadan, pengeluaran cek dan draf dan pemindahan antara akaun.
Lin berkata CitiDirect Online Banking bukanlah produk biasa, tetapi satu saluran penghantaran dan capaian baru yang membolehkan bank meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggannya.
``Dengan kefahaman ini, kami tidak mengharapkannya menghasilkan aliran pendapatan sebagai produk bersendirian tetapi ia pastinya akan memberi manfaat kepada perkhidmatan kami, seperti pengurusan tunai dan produk-produk perdagangan kami secara keseluruhan,'' kata beliau.
Mengenai pelaburan bagi perkhidmatan itu, Lin berkata Citibank menjangka akan melabur lebih AS$400 juta (RM1.5 bilion) bagi prasarana CitiDirect Online Banking pada asas global, sebahagian besarnya yang akan dibelanjakan bagi perkakasan dan perisian komputer.
``Ini adalah produk global, jadi adalah amat sukar bagi kami untuk mengasingkan banyak mana kami akan labur di negara ini berbanding secara global,'' katanya apabila ditanya mengenai jumlah pelaburan di Malaysia.
``Bagaimanapun, saya fikir akan akan membelanjakan kebanyakan daripadanya (pelaburan di Malaysia) ke atas pengeluaran dan pendidikan pelanggan,'' tambahnya.
Sebelum pelancaran perkhidmatan online bagi pelanggan-pelanggan korporat itu, Citibank Malaysia telahpun melancarkan perkhidamtan perbankan pelanggan onlinenya pada Januari lalu, juga di bawah lambang Ci

No comments: